SPRM Terima Sokongan Tidak Dijangka Daripada Pembangkang

423
0
SHARE

PUTRAJAYA: Sejak ditubuhkan, kewajaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sering menjadi pertikaian di mata orang ramai, dengan pengkritik mendakwa ia lebih menyerupai proksi kerajaan daripada sebuah badan pemantau bebas.

Rakyat Malaysia makin kecewa dengan apa yang mereka anggap satu ketidaktelusan dalam  kontroversi 1Malaysia Development Board (1MDB) dan penyaluran RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka kini menggantungkan harapan mereka kepada SPRM, yang hari ini muncul sebagai satu sumber inspirasi bagi mereka yang mencari kebenaran.

Tiba-tiba, mereka yang dulunya memusuhi SPRM, beralih sentimen.

Daripada pemimpin hak awam Datuk Ambiga Sreenevasan hingga orang kuat pembangkang Lim Kit Siang, mereka kini menjadi sekutu kuat, menyuarakan sokongan kepada suruhanjaya itu yang pernah mereka kecam sebelum ini sebagai tidak cekap.

Kini mereka menghamburkan kata pujian kepada SPRM sebagai pejuang kebenaran.

Sokongan yang diterima rakyat Malaysia juga luar biasa, dengan sebuah laman Facebook dinamakan “Rakyat bersama SPRM” menarik hampir 7,000 ahli dalam masa tidak sampai 24 jam selepas dimulakan. Dan setakat pagi ini, keahliannya mencapai lebih 18,000.

Perubahan tiba-tiba tanggapan terhadap SPRM ini, daripada penjahat kepada wira, sebahagian besarnya disebabkan hakikat rakyat Malaysia selama ini tidak mendapat jawapan kepada soalan mereka mengenai 1MDB, kata Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4) Cynthia Gabriel.

Mereka kini berharap kepada SPRM untuk mendapatkan jawapannya.

Penyokong SPRM mendakwa, serbuan polis ke atas pegawai agensi itu merupakan satu bentuk ugutan, dan sebahagian usaha kerajaan menggagalkan siasatan terhadap kontroversi yang timbul.

“Kita mesti bangkit menyatakan sokongan kepada SPRM, kerana mereka merupakan wira sebenar pada masa-masa yang mencabar ini,” kata Presiden Transparency International-Malaysia, Datuk Akhbar Satar.

“Kami menyeru kerajaan membenarkan SPRM menjalankan tugasnya tanpa rasa takut atau gentar. Ia satu-satunya institusi yang tinggal, yang dilihat bebas dan berupaya mencari kebenaran. Semua intimidasi polis ini mesti dihentikan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Akhbar berkata, SPRM selama ini tidak mendapat sokongan ramai rakyat Malaysia, sebahagiannya kerana “sejarah hitamnya” dengan kematian Teoh dan Sarbani.

Bagaimanapun, penyokong SPRM kini menyatakan sokongan tidak berbelah kepada agensi itu tanpa mempedulikan sejarah lampaunya, kerana siasatannya mesti diteruskan tanpa halangan atau campur  tangan kerajaan.

Gabriel menegaskan, tindakan masyarakat sivil bukan bertujuan “menyelamatkan SPRM” dan ia masih perlu bertanggungjawab ke atas semua kontroversinya yang lalu, tetapi ia perlu “dipelihara dan diperkukuhkan agar boleh menjalankan tugas dengan bebas”.

“Apa yang sedang kita hadapi ini dalam konteks semasa isu 1MDB, sangat berbeza dan pelik. Ia rasuah besar-besaran, pada skala yang kita tidak pernah saksikan sebelum ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Kami melihat kuasa eksekutif cuba campur  tangan mengganggu siasatan. Paling penting, SPRM harus dibenarkan melaksanakan tugasnya secara bebas.”

Akhbar berkata, peristiwa beberapa minggu lepas menunjukkan satu suasana “tiadanya tadbir urus yang baik, integriti dan penghormatan kepada kedaulatan undang-undang”.

“Dakwaan Malaysia sebelum ini yang ia berjuang memerangi rasuah kini menjadi pertikaian. Tahap keyakinan orang ramai sangat rendah.

“Jika rakyat Malaysia mahu melihat keadilan dan kebenaran, mereka perlu menggalakkan SPRM menjalankan tugas mereka, dan berharap ia akan menemukan jawapan yang kita semua cari.

“Harapan ini amat penting pada masa-masa kelam begini.” – INSIDER

SHARE
Previous articleIdris Nafi Laporan Blog
Next articleSaya Akan Jadi Hos Terbaik Sambut Najib – Khaled Nordin