SPRM Tahan 4 Pegawai PTG Disyaki Rasuah Bauksit

240
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan termasuk seorang pegawai kanan kerana disyaki meminta serta menerima rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Azam Baki berkata bayaran rasuah itu bagi melindungi kegiatan haram pelombong bauksit daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Nilai wang rasuah yang terlibat dalam kes ini lebih daripada RM100,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 38 tahun kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Selain itu berhubung kes sama, SPRM turut mengesan kegiatan penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau borang 13D secara haram kepada pelombong tidak berlesen.

Borang berkenaan dijual dengan harga RM150 hingga RM200 meskipun ia hanya bernilai RM1.

“SPRM juga tidak menolak kemungkinan melakukan tangkapan susulan dan telah mempunyai maklumat berkaitan pihak-pihak terbabit,” katanya.

Sementara itu SPRM berharap semua pihak termasuk masyarakat setempat bertanggungjawab bagi memastikan aktiviti perlombongan bauksit tidak terkawal dapat diatasi.