Solidariti Dalam UMNO Jana Kekuatan Hadapi PRU14

145
0
SHARE

KOTA BAHRU: UMNO Kelantan akan mengutarakan tema kepentingan mempertingkatkan solidariti dalam parti semasa membahas usul pada Perhimpunan Agung UMNO di ibu negara minggu depan.

Wakil Kelantan, Datuk Abdullah Mat Yassin, pembahas usul ekonomi, berkata solidariti adalah penting kepada seluruh pemimpin dan anggota UMNO di semua peringkat dalam memastikan perpaduan terus kukuh dan parti menjadi kuat dalam perjuangannya membela bangsa, agama serta negara.

“Kita harap akan dapat melihat pada perhimpunan itu bagaimana tahap solidariti yang kuat ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin dan para perwakilan yang hadir,” katanya.

Abdullah, yang juga Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, berkata apabila wujudnya tahap solidariti yang kukuh di peringkat pemimpin atasan maka semangat yang sama akan menyemarak ke peringkat bahagian dan cawangan serta akar umbi parti.

Beliau berkata, kekuatan bersandarkan kepada solidariti itu akan menjana semangat kerja kuat berpasukan khususnya untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sebagai pembahas usul ekonomi, Abdullah berkata, antara perkara yang akan diketengahkannya adalah mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan kedudukan ekonomi negeri Kelantan.

“Berdasarkan penjelasan oleh kerajaan, TPPA ini akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara, sekiranya Malaysia tidak menyertai TPPA ini, kemungkinan besar negara akan tertinggal di belakang berbanding negara yang menyertainya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil Kelantan, Zaki Mohamad yang juga Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krai, akan membahas usul agama dan pendidikan. Katanya, perhimpunan itu akan menjadi platform terbaik kepada perwakilan untuk membincang dan mengumpul idea bagi memperkukuhkan parti dan meningkatkan martabat bangsa, agama dan negara.

Beliau akan mengetengahkan peranan yang boleh dimainkan UMNO untuk memartabatkan agama Islam termasuk bagaimana parti ini membantu dalam usaha melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015) Negeri Kelantan.

Dalam bidang pendidikan, Zaki akan menyentuh bagaimana untuk melahirkan lebih ramai modal insan serta peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

SHARE
Previous articleNOW Belum Yakin Integriti YAPEIM Pulih Dengan Peletakan Jawatan
Next articleHukum Hisap ‘Vape’ Haram – Mufti Pulau Pinang