Soal Keselamatan Tidak Dikompromi – Zahid

43
0
SHARE
MALAYSIA akan memastikan soal keselamatan tidak dikompromi di sebalik usaha negara meningkatkan kedatangan pelancong dari China. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan keselamatan Malaysia tidak tergugat walaupun negara mengecualikan visa kepada rakyat China yang melancong ke Malaysia kurang 15 hari.

“Ketika rakan sejawatan saya (Menteri Keselamatan Awam China,) Guo Shengkun melawat saya di Kuala Lumpur sebelum ini, kami membincangkan perkara ini dengan teliti pada kumpulan kerja bersama.

“Pihak berkuasa China menyediakan kita dengan dua elemen utama. Mereka akan memberikan senarai suspek kepada PDRM dan pegawai imigresen serta biometrik,” katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas melawat Pusat Sehenti Visa di Maizidian West Street, di sini, sebentar tadi ketika suhu pada jam 11 pagi ini waktu tempatan (sama waktu di Malaysia) mencatatkan bacaan -4 darjah Celcius.

Beliau adalah dalam rangka lawatan kerja empat hari di negara republik ini, bermula semalam, yang antara lain bagi membincangkan pelaksanaan sistem visa elektronik (e-visa) bagi rakyat China.

Ia adalah lawatan kerja pertama Ahmad Zahid ke negara Tembok Besar itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Petang ini, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya, Menteri Keselamatan Awam, Gou Shengkun.

Esok, Ahmad Zahid akan meluangkan masa bersama penuntut dan komuniti Malaysia di Beijing dalam satu majlis makan malam.

SHARE
Previous articleNajib Bukan Suspek Siasatan AS$4 Billion – Peguam Negara Swiss
Next articleJabatan Audit Tetap Bentang Laporan 1MDB Bulan Ini – Hasan