SKMM Bina Lebih 900 Menara Telekomunikasi Sehingga September

64
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) membina 993 menara telekomunikasi sehingga September lepas bagi merapatkan jurang digital dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan telekomunikasi dalam kalangan rakyat terutamanya di kawasan yang tiada atau kurang liputan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata bagi tempoh yang sama lebih 300 kilometer rangkaian fiber optik, hampir 597 Pusat Internet 1Malaysia dan lebih 4,712 WiFi komuniti dibina.

“Dalam usaha itu, pihak kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah kerangka Pemberian Perkhidmatan Sejagat, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai usaha kementerian dalam menambah baik sistem komunikasi terutamanya di kawasan luar bandar kerana terdapat banyak lagi kampung yang tidak mendapat rangkaian telekomunikasi dan akses internet.

Jailani berkata SKMM akan menambah baik infrastruktur telekomunikasi menerusi peruntukan RM1.2 bilion dalam Bajet 2016 termasuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar empat kali ganda dari lima Megabit sesaat kepada 20 Megabit sesaat.

Menurut Jailani, bagi kawasan Parlimen Baling, kementerian melalui SKMM telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan perkhidmatan jalur lebar dalam kalangan masyarakat yang sehingga kini telah menelan belanja berjumlah RM28.8 juta.

“Antara inisiatif tersebut termasuk membina enam Pusat Internet 1Malaysia, membina 43 WiFi Komuniti (dahulunya dikenali sebagai ‘Kampung Tanpa Wayar’ (KTW) dan membina tujuh menara telekomunikasi di mana dua lagi menara akan dibina dalam waktu terdekat,” katanya.

Mengenai kadar penembusan jalur lebar, beliau berkata secara keseluruhannya telah mencapai 72.2 peratus sehingga suku kedua tahun ini yang mana 7.9 peratus disumbangkan oleh projek WiFi Komuniti (WK).

Menurutnya, kementerian melalui SKMM telah menyasarkan sebanyak 500WK akan dibina pada tahun ini dan sehingga kini, sebanyak 455WK telah disiapkan manakala selebihnya sedang dalam proses pelaksanaan.

Mengenai dakwaan kegagalan KTW, Jailani berkata kemudahan internet itu tidak gagal kerana kadar penembusan jalur lebar negara telah meningkat dan kementerian berusaha mengatasi segala kekangan dan menerusi penambahbaikan yang dilaksanakan.

Sebaliknya, Jailani berkata kekangan cuaca kabus tebal dan gangguan bekalan elektrik terutama di Sabah dan Sarawak adalah antara faktor utama dikenal pasti sebagai punca masalah kegagalan internet berfungsi dengan baik di kawasan yang diberikan.

“Kita sedang mengkaji dan menambah baik inisiatif KTW 1Malaysia dan mencuba program lain seperti Pusat Internet 1Malaysia untuk dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.