Sistem Perparitan Ketinggalan Zaman Punca Banjir Kilat – Wan Junaidi

210
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar berkata, banjir kilat melanda ibu negara disebabkan reka bentuk perparitan yang tidak mengikut peredaran zaman.

Menurutnya, reka bentuk projek perparitan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa kini tidak dapat menampung takungan air yang banyak.

Katanya, reka bentuk tersebut mungkin sesuai menampung jumlah air semasa hujan ketika zaman 1970-an dan 1980-an tetapi tidak pada masa kini.

“Kapasiti perparitan tidak mencukupi dan Jabatan Pengairan dan Saliran sepatutnya berbincang dengan PBT apabila buat reka bentuk perparitan dan saliran.

“Kena maklumkan dengan keadaan semasa. Reka bentuk kita mungkin mencukupi (untuk) zaman 1970-an dan 1980-an.

“Pembangunan kita secara dasarnya tidak boleh menyerap air ini ke perut bumi. Bila air semakin banyak ia memasuki parit lebih banyak.

“Jadi, reka bentuk mesti diluluskan dengan keadaan kita pada masa sekarang,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian di sidang media sempena sesi pengenalan anak panda di Zoo Negara hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Santubong itu menyeru PBT supaya mengambil kira kadar curahan air hujan serta cuaca semasa sebelum meluluskan sebarang projek berkaitan sistem perparitan dan saliran.

Katanya lagi, PBT juga perlu mengambil kira kadar kenaikan pasang di kawasan bandar serta kampung yang berdekatan dengan laut sebelum meluluskan mana-mana reka bentuk dicadangkan oleh kontraktor.

“Di pihak majlis perbandaran, (mereka) tak mainkan peranan sebaiknya. Mereka sepatutnya menasihatkan kontraktor sebaik mungkin semasa nak buat projek di bandar atau pekan. Ia boleh menjadi masalah iaitu banjir kilat,” katanya lagi.

Justeru itu, Wan Junaidi berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan ketua setiausaha negara serta pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran supaya membuat penilaian semula reka bentuk perparitan sesebuah projek yang akan dibangunkan.

“Ia dah diberitahu kepada PBT, arkitek, jurutera, juruteknik supaya mereka mengambil kira semua faktor yang dinyatakan sebelum mana-mana projek diluluskan,” katanya. – MK