Sidang DUN Selangor: Pelan Induk Pengangkutan Awam Siap November 2015

291
0
SHARE

SHAH ALAM: Draf Pelan Induk Pengangkutan Awam negeri dijangka siap awal November ini melalui pasukan perunding berkelayakan dilantik.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS & Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata pelan itu membantu Selangor mencapai hasrat menjadikan negeri itu mesra pengangkutan awam yang selamat dan komprehensif.

Katanya ia selaras dengan pembangunan Ekonomi Peduli Rakyat Selangor yang menentukan hala tuju pengangkutan di negeri itu.

“Ia membantu mencapai sasaran nisbah 60:40 pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian, memiliki strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Pelan ini turut meliputi jaringan lebuh raya dan pengangkutan awam semasa dan masa depan untuk rujukan Kerajaan Negeri, Persekutuan, agensi terlibat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan penyelarasan pengurusan dan pelaksanaan yang lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada masa sama, Chang Khim (DAP-Sungai Pinang), berkata pelan itu membantu mencapai keseimbangan antara pembinaan lebuh raya dan penyediaan sistem pengangkutan awam melalui kajian telus dan terperinci.

Katanya ia turut menganalisa konsep Transit Oriented Development (TOD) bagi membolehkan pembangunan perumahan dan komersial di Lembah Klang diintegrasi dengan infrastruktur pengangkutan awam.

“Kerajaan Negeri juga bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membincangkan hal ini melalui agensi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya.