Sidang DUN Selangor: Garis Miskin RM830 Tidak Realistik

263
0
SHARE

SHAH ALAM: Garis kemiskinan kebangsaan pada kadar RM830 sebulan seisi rumah tidak lagi realistik dalam suasana ekonomi semasa terutamanya di Selangor.

Justeru, Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali berkata Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Malaysian Institute of Economic Research (MIER) dalam menentukan garis kemiskinan bersesuaian untuk pendapatan isi rumah di Selangor.

“Kesenjangan pendapatan kaya dan miskin menjadi agenda utama dalam belanjawan Selangor 2015.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif bekerjasama dengan MEIR dalam menyediakan data statistik pendapatan isi rumah Selangor sehingga ke peringkat daerah bagi menentukan garis kemiskinan bersesuaian untuk penetapan garis kemiskinan.

“Maklumat tersebut digunakan untuk mengubal program lebih berkesan dalam menangani berkaitan kemiskinan di pelbagai peringkat masyarakat,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan daripada Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berhubung pelan tindakan pengurangan jurang pendapatan antara kaya dan miskin di Selangor.

Pada masa ini, Selangor menetapkan garis kemiskinan seisi rumah pada kadar RM1,500 sementara Kerajaan Persekutuan menetapkan garis kemiskinan adalah pada kadar RM830 sebulan seisi rumah manakala miskin tegar pada kadar RM520 seisi rumah.