Siapa Sangka Tukang Pembersih Merungkai Misteri MH370

266
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Siapa sangka, Johnny Begue yang bekerja membersih kawasan pantai di bandar Saint-Andre di Pulau Reunion, sebuah pulau milik Perancis yang terletak di luar pantai Madagascar mampu merungkai satu kes terbesar membabitkan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370.

Memetik laporan Daily Mail, Begue menemui ‘objek aneh’ di kawasan berkenaan yang juga jaraknya kira-kira 4,000 kilometer dari tempat usaha mencari pesawat MH370.

Lelaki itu percaya objek itu adalah serpihan sayap pesawat ketika sedang mencari batu kecil untuk dijadikan lesung menggiling cili pada minggu lalu.

Dengan bantuan rakan sekerjanya, Begue segera menempatkan sayap pesawat yang dijumpai tersebut ke tebing untuk mengelakkan ia dihanyutkan ke laut.

Sejurus selepas penemuan sayap pesawat tersebut, Begue kemudian menelefon sebuah stesen radio kegemarannya untuk memaklumkan pada deejay bertugas,

Namun, operator yang menjawab panggilan enggan melayannya kerana menganggapnya ia cuma satu gurauan.

Walaubagaimanapun, salah seorang rakan sekerja Begue melayari Internet dan terjumpa artikel mengenai pesawat MH370 sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Begue dan rakan-rakannya tidak sangka sama sekali, serpihan pesawat tersebut milik pesawat MH370 dan sekaligus menyelesaikan misteri terbesar dalam industri penerbangan.

Apa yang menakjubkan, Begue juga menemui sebuah bagasi yang usang dan koyak di pulau tersebut.

“Ia agak pelik dan agak menyeramkan,” katanya.

Rakan sekerjanya, Gobalsoumy pula menyatakan ia sememangnya satu perkara yang aneh jika sayap pesawat dijumpai di lautan.

“Kami percaya pasti ada orang yang sudah mati dalam pesawat ini dan ahli keluarga pasti rasa ingin tahu,” katanya.

Begue juga berkata, dia tidak menyedari bahawa pergi mencari anak lesung untuk menumbuk cili menjadikannya dikenali ramai. – MD