Shahrizat Harus Diberi Kedudukan Penting Selepas PRU – Zahid

12
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan yang Barisan Nasional (BN) akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang kini semakin hampir.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau percaya wanita harus menjadi tulang belakang politik Malaysia, di bawah kekuatan kepimpinan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta keteguhan Wanita BN dan Umno.

Katanya, Shahrizat yang merupakan Ketua Wanita Umno dan juga Pengerusi Wanita BN, harus diberi kedudukan penting selepas pilihan raya umum berkenaan.

“Saya akan bisikkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk meletakkan lebih ramai (calon) wanita dalam pilihan raya umum. Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan kaum wanita jika mereka diberikan amanah atau tugas,” katanya semasa menutup Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Politik (WIPKL) 2017, yang berlangsung di sini pada Isnin bersempena Perhimpunan Agung Umno.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan BN sentiasa mengusahakan agar lebih ramai wanita diletakkan sebagai calon pada pilihan raya.

“Begitu juga untuk pilihan raya umum yang semakin mendekat ini,” katanya.

Mengakui pemerkasaan wanita tidak bermakna jika suara mereka tidak didengari dalam politik, beliau berkata: “Mujurlah di Malaysia ini ada hasil positif dari segi mempunyai lebih banyak suara wanita dalam politik.”

Ahmad Zahid berkata, Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif untuk melihat lebih banyak penyertaan wanita dalam sektor awam dan swasta.

Bagi sektor awam, beliau berkata, Malaysia mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan kerana berjaya melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan.

“Pencapaian sebenar ialah pada 35.8 peratus manakala dalam sektor korporat, wanita kita merekodkan 29.9 peratus. Memandangkan sasaran ialah 30 peratus, saya biarkan anda semua membuat perkiraan akan betapa hampirnya kita untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Berkongsi satu daripada kisah kejayaan Malaysia, timbalan perdana menteri berkata  berdasarkkan Laporan Pemantauan Keusahawanan Global 2016/2017 yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia berada di kedudukan keempat dari segi kesaksamaan gender dalam keusahawanan di belakang Brazil, Mexico dan Indonesia.

“Ini bermakna bilangan usahawan wanita di Malaysia kini menyamai lelaki,” katanya.