Shahrir Samad Jawab Kesan Kritikan Tun M Pada BN

424
0
SHARE

KUALA LUMPUR:  Kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mempengaruhi rakyat untuk menyokong atau tidak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Pandangan itu diberikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad.

Beliau mengajak rakyat berfikir situasi yang dihadapi BN dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008 dan 2013.

“Pada 2008, semasa kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Mahathir tidak menyokong BN, dan sokongan rakyat kepada BN ketika itu berkurangan.

“Pada 2013, Tun Mahathir menyokong BN, tetapi sokongan kepada BN tetap juga berkurangan.

“Jadi adakah kritikan Tun Mahathir ini masih relevan? Saya berikan fakta-fakta ini dan kita harus meletakkan perkara ini menurut perspektifnya,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, lantang mengkritik Najib dan kerajaan berhubung hutang RM42 bilion 1MDB dan sumbangan derma politik RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir sering kali mengatakan BN akan kalah pada PRU14 jika Najib terus menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO. – FMT