‘Sesiapa Yang Jadi PM Hanyalah Boneka Tun M’ – Raja Petra

487
0
SHARE

KUALA  LUMPURPendedahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cara Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, membuktikan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah dalang yang menentukan siapa layak menerajui pentadbiran kerajaan.

Pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin berkata, jika Dr Mahathir tidak mahu seseorang itu menjadi Perdana Menteri lagi, beliau akan mendesak pemimpin tersebut berundur dan memilih calon baru yang disukainya.

“Pendedahan yang dibuat Muhyiddin, membuktikan Dr Mahathir yang memilih Najib untuk menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

“Muhyiddin juga mendedahkan beliau dan Dr Mahathir kecewa dengan Najib, kerana menolak untuk melawan Abdullah dan gugurkan beliau. Gambaran yang diberikan Najib setia kepada Abdullah dan tidak mahu ‘tikam belakang’,” katanya di portal beliau, hari ini.

Muhyiddin ketika berucap pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian bertemakan ‘Berani Kerana Benar’, di Hotel Bluewave, Johor Baru, semalam, mendedahkan beliau yang menjadikan Najib Perdana Menteri, selepas menolak tawaran Dr Mahathir untuk menggantikan Abdullah.

Menurut Muhyiddin, beliau telah memberi tekanan kepada Najib supaya Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, segera melepaskan jawatannya.

“Menurut Muhyiddin, jika Najib terus menolak untuk singkirkan Pak Lah, beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Tekanan yang diberikan kepada Najib ketika ini, kata Raja Petra, sama seperti yang berlaku tujuh tahun lalu, ketika Pak Lah disingkirkan daripada jawatan nombor satu itu.

“Terdapat corak sama dengan apa yang berlaku tujuh tahun lalu dan apa yang berlaku sekarang.

“Individu yang mentadbir Malaysia adalah Dr Mahathir dan sesiapa yang menjadi Perdana Menteri hanya akan jadi boneka Dr Mahathir, dengan Dr Mahathir adalah Perdana Menteri de facto.

“Ini juga bermakna, apa yang (Ahli Parlimen Gua Musang) Tengku Razaleigh Hamzah katakan adalah benar.

“Tengku Razaleigh berkata, beliau enggan menjadi Perdana Menteri, kerana beliau hanya akan menjadi boneka, dengan Dr Mahathir menarik tali dari belakang tabir sebagai Perdana Menteri de facto,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu pernah mengatakan beliau berhempas pulas untuk menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri, kerana mengenang jasa ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua.

Pendedahan Muhyiddin pada Sabtu itu jelas menunjukkan Dr Mahathir memilih Najib sebagai Perdana Menteri, selepas Muhyiddin menolak untuk terima jawatan tersebut. – TRP

SHARE
Previous articleSesi Persekolahan Seluruh Negara Berjalan Seperti Biasa Esok – Menteri Pendidikan
Next articleBelanjawan Yang Baik Tetapi Tidak Luar Biasa – Pakar Akademik