Serpihan Pesawat Dipercayai MH370 Ditemui Di Mozambique

172
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Satu objek dipercayai serpihan pesawat Boeing 777 ditemui di pesisiran pantai Mozambique di Afrika Timur, hari ini.

Laporan NBC News hari ini menyebut, pasukan penyiasat sedang meneliti serpihan pesawat itu dan gambar analisis foto awal menunjukkan seolah-olah objek itu adalah daripada pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang kira-kira dua tahun lalu.

Objek berkenaan tertulis perkataan ‘NO STEP’ dipercayai adalah sebahagian daripada sayap pada belakang badan pesawat buatan Boeing.

Serpihan pesawat itu dilaporkan ditemui di kawasan tebing berpantai di Selat Mozambique. Ia ditemui seorang warga Amerika Syarikat di negara itu.

Penyiasat dari Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat sudah meneliti gambar foto analisis itu dan berpandangan, peluang untuk menemui MH370 kini adalah cerah.

Penyiasat daripada syarikat Boeing juga meneliti gambar foto analisis terbabit, namun menurut sumber, syarikat terbabit enggan memberi sebarang ulasan.

Sementara itu, CNN melaporkan bahawa serpihan yang ditemui di negara terbabit akan dibawa ke Malaysia untuk diteliti.

September tahun lalu, penyiasat Perancis mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Kepulauan Reunion, berdekatan Madagascar pada Julai 2015 adalah milik MH370.