Semua Duta Khas, Penasihat PM Berkaliber – Azalina

261
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Lapan Duta Khas dan Penasihat Perdana Menteri yang dilantik mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk membantu kerajaan melaksanakan program yang ditanggungjawabkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mereka dinilai berdasarkan kelayakan dan pengalaman.

“Kerajaan hanya membayar gaji dan elaun mengikut kelayakan masing-masing berdasarkan kepakaran yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen DAP-Kluang, Liew Chin Tong yang memohon penjelasan mengenai jumlah dan peranan Duta Khas dan Penasihat Perdana Menteri yang telah dilantik.

Lapan orang tersebut adalah Penasihat agama kepada Perdana Menteri ; Datuk Seri Abdullah Md Zin , Penasihat khas Perdana Menteri mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan kepada kerajaan ; Tan Sri Dr Rais Yatim.

Duta Khas Perdana Menteri ke China ; Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur ; Datuk Seri Tiong King Sing, Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang Infrastruktur ; Datuk Seri S Samy Vellu.

Penasihat Pembangunan Keusahawaan dan Ikhtisas Wanita ; Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil, dan Penasihat kepada Perdana Menteri ; Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Sementara itu mengulas mengenai keperluan anggota kabinet yang ramai di Malaysia berbanding negara-negara lain, Azalina menegaskan perlantikannya adalah di bawah prerogatif Perdana Menteri mengikut keperluan.

“Ingin saya ingatkan di sini bahawa setiap menteri yang dilantik mempunyai portfolio serta bidang tugas masing-masing yang telah dikhususkan.

“Melalui pengkhususan tersebut, menteri-menteri yang dilantik pastinya akan dapat menjalankan tanggungjawab mereka secara lebih fokus dan efisyen,” katanya.

Menurut Azalina, Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga mempunyai 92 jabatan atau agensi di bawah JPM dengan 57 jabatan, 10 Badan Berkanun Persekutuan, 13 Syarikat, lima Agensi Pembangunan Koridor, lima Yayasan dan dua Pertubuhan Antarabangsa.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pas-Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang meminta penjelasan mengenai keperluan untuk anggota kabinet yang ramai berbanding negara-negara lain.