Semangat Saya Tidak Luntur Biarpun ‘Diboo’ – Ahmad Maslan

363
0
SHARE

KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata semangatnya sedikitpun tidak luntur biarpun di ‘boo’ perwakilan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian, Ahad lalu.

Katanya, cacian dan cerita rekaan di media sosial yang memutarbelit kenyataannya khususnya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga tidak mampu mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.

Menerusi blognya, www.ahmadmaslan.my, Ahmad Maslan memperbetulkan tanggapan bahawa beliau di ‘boo’ pada mesyuarat itu kerana perwakilan tidak menyukainya.

“Perlu juga dikongsi di sini bahawa lepas perasmian itu ada pengundian untuk tujuh perwakilan ke Perhimpunan Agong UMNO (G7). Setiausaha Sulit dan Pegawai Khas saya yg turut bertanding menang dengan mendapat undi kedua dan ketiga tertinggi daripada 15 calon yg bertanding.

“Jika Perwakilan Pontian tidak suka saya, logiknya dua orang pembantu saya itu juga telah ditolak oleh Perwakilan,” katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menjelaskan, dakwaan beliau di ‘boo’ banyak kali dan meninggalkan majlis lebih awal juga tidak benar.

Katanya, maklumat yang diterimanya bahawa ‘boo’ itu dimulakan oleh dua orang hadirin dari luar Pontian yang bukan perwakilan.

“Saya menerima episod “boo” itu sebagai satu hikmah dan cabaran dalam perjuangan. Ia suatu pembelajaran politik yg penting dalam kerjaya dan khidmat saya untuk agama, bangsa dan tanahair. Bak kata pepatah, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

“Pada saya setia dan sepakat dalam perjuangan adalah penting. Seorang sahaja nakhoda dalam perjuangan juga penting. Nakhoda itu perlu dibantu dalam susah dan senang untuk mengemudi kapal meredah gelora lautan agar selamat sampai ke pelabuhan,” katanya. – FMT