Semangat Patriotisme Rakyat Terserlah Pada Hari Kebangsaan

394
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Semangat cintakan negara terpancar di setiap wajah ribuan insan daripada segenap lapisan dan kaum yang membanjiri Dataran Merdeka di sini hari ini untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati tema sambutan ‘Sehati Sejiwa’ dengan menampilkan semangat patriotisme dan kebersamaan pada acara sambutan peringkat kebangsaan penuh warna-warni dan meriah itu.

Semangat kesatuan itu ditunjukkan melalui persembahan bertenaga dan perbarisan oleh hampir 13,000 peserta pelbagai kontinjen termasuk daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan.

Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan di dataran penuh bersejarah itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan barisan menteri Kabinet serta perwakilan asing.

Sejurus berangkat tiba, Tuanku Abdul Halim menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan pasukan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi diketuai Mejar Mohd Herdi Ismail.

Ia diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

Serentak dengan itu, kedengaran 14 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja. Acara sambutan dimulakan dengan acara ‘Derap Seragam’, iaitu persembahan terbaharu oleh 900 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disusuli persembahan serentak bersama-sama pelajar dengan melakukan kawad berirama.

Acara sambutan turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan. Penonton di lokasi turut dapat menyaksikan menerusi acara secara jelas menerusi skrin LED berukuran 108 meter panjang dan sembilan meter tinggi, iaitu skrin terbesar pernah digunakan dalam mana-mana sambutan dalam negara.

Acara bacaan ikrar oleh lima ikon generasi muda dengan diketuai Noradzmi Baba daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah terlibat dalam acara sambutan Hari Kebangsaan sejak 1987.

Mereka adalah anak muda kelainan upaya Muhammad Zahriff Affandi yang juga penerima anugerah Ikon Belia Negara, personaliti televisyen dan radio Fara Fauzana, ratu wushu negara Diana Bong Siong Lin, malim gunung Mohd Rizuan Kauhinin dan guru, Louis Marie Neubert Ambrose.

Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme pada acara itu, gandingan tiga pengacara majlis iaitu Saiful Khairi Ahmad, Rudiyan Shah dan Atikah Mahali, turut menyelitkan bacaan puisi antaranya sajak ‘Di Tanah Malaysia’, karya Razali Mohd Yussof dan ‘Lentera Zaman’ oleh Mahaya Mohd Yassin.

Mendahului acara perbarisan adalah kontinjen pembawa Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri oleh para pelatih Institut Kemahiran Belia Negara, disusuli kontinjen Eksplorasi Sehati Sejiwa.

Kontinjen eksplorasi itu yang dipelopori Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan gabungan sektor kerajaan, badan bukan kerajaan dan sektor korporat menjelajah ke seluruh negara dengan membawa gelombang semangat patriotisme ‘Sehati Sejiwa’ untuk rakyat dan ia akan menamatkan ekspedisi pada Hari Malaysia.

Turut menarik perhatian adalah penyertaan sekumpulan malim gunung yang menyertai kontinjen negeri-negeri. Mereka memainkan peranan tersendiri dalam melaksanakan misi menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu, 5 Jun lepas.

Penonton khususnya kanak-kanak pula dilihat teruja menyaksikan pelbagai maskot daripada animasi terbitan syarikat-syarikat animasi tempatan antaranya Upin dan Ipin dan BoboiBoy yang menyertai kontinjen animasi, diikuti beberapa kontinjen lain.

Perarakan aset-aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya motosikal Kawasaki GTR 1400 dan Honda ST 1300 yang digunakan untuk mengawal lalu lintas, kenderaan pengiring orang-orang kenamaan dan rondaan, selain beberapa kenderaan lain turut menarik perhatian orang ramai.

ATM mempersembahkan aset pertahanan terkini daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatannya iaitu darat, laut dan udara termasuklah kenderaan pembawa senjata jenis G Wagon yang digunakan pasukan infantri untuk membuat tinjauan, selain kenderaan perisai dan meriam.

Deruan jet-jet aset pertahanan udara yang melintasi ruang udara sekitar Dataran Merdeka turut membuatkan penonton teruja sebaik ia melaksanakan pelbagai formasi di udara.

Antara yang memukau penonton ialah formasi penerbangan sembilan pesawat Pilatus PC 7 yang digunakan sebagai pesawat latihan asas untuk juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat pengangkut TUDM, selain 11 pesawat tempur Sukhoi SU 30 MKM.

Majlis sambutan diakhiri dengan persembahan khas tarian kebudayaan oleh Komponen Rakyat Bersepadu yang menampilkan lebih 1,000 peserta pelbagai kaum.