Seleweng RM15 Juta – ‘Tan Sri’, ‘Datuk’ Mengaku Tidak Bersalah

93
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak dan Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini masing-masing atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat membabitkan dana berjumlah hampir RM15 juta, enam bulan lalu.

Mustafha dan Abdul Aziz  bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mardhiah Hasbullah.

Berdasarkan pertuduhan Mustafha, 48, didakwa pecah amanah ke atas Peruntukan Kumpulan Perbelanjaan Pemasaran kod 59100 berjumlah RM14,991,283.20.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara Kembar Bank Rakyat, No 33 Jalan Travers 11 Mac 2016.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Abdul Aziz, 65, pula didakwa bersubahat dengan Mustafha melakukan kesalahan tersebut pada tarikh dan tempat yang sama.

Dakwaan ke atas Abdul Aziz dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Kesekaan (akta 574) dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud bertindak bagi pihak pendakwaan manakala Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Mustafha dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakli Abdul Aziz.