Selangor: Kerajaan Negeri Pilih Kasih Sedia Pembangunan

109
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor didakwa pilih kasih dalam menyediakan pembangunan di negeri itu terutama dalam menyediakan bas percuma atau Smart Bas yang mana ia di Kajang, tetapi tidak disediakan di Semenyih.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia amat berbeza dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menyediakan pembangunan tanpa mengira kawasan sama ada dimenangi oleh parti itu atau pakatan pembangkang.

“Walaupun Selangor dikuasai kerajaan pembangkang, kerajaan persekutuan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya kepada rakyat negeri ini,” katanya pada sidang media majlis pecah tanah pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, di sini, semalam.

Beliau juga menjelaskan, usaha untuk mendapatkan balai bomba di Bandar Tun Hussein Onn telah dilakukan sejak 15 tahun lalu.

Balai Bomba dan Penyelamat ini dijangka siap pada Mac 2017, mampu mengurangkan bebanan yang digalas Balai Bomba dan Penyelamat Kajang.

“Jika kerajaan pusat pilih kasih sudah tentu tidak ada balai bomba di kawasan yang dikuasai parti pembangkang,” kata Noh lagi.

Berlainan dengan kerajaan negeri Selangor kata Noh, beliau difahamkan perkhidmatan bas percuma Smart Selangor sudah beroperasi di Kajang tetapi tidak di Semenyih.

“Sebab Kajang ni Dun PKR bas ini hanya di Kajang. Tapi bila Datuk Johan (Adun Semenyih-BN) mohon untuk kawasan Semenyih, mereka tak bagi,” katanya.