Sebab Najis Yang Terpalit Dahulu, Jangan Salahkan Kerajaan Hari Ini – Zahid

1285
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu sedar akan perkara sebenar dan menilai kembali kepada setiap tuduhan yang dilempar terhadap kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, semua pihak seharusnya tidak menyalahkan kerajaan hari ini, sebaliknya melihat apa yang dilakukan pentabiran kerajaan sebelum ini.

“Disebabkan najis yang terpalit dulu, jangan salahkan kita sepenuhnya, walaupun bukan 100 peratus kita kena faham, mahasiswa nakkan tadi supaya ada diskaun kad untuk ERL, cuma semua harus faham bahawa kalau rombak, kita terpaksa bayar puluhan ribu sebab melanggar perjanjian konsesi.

“Bukan itu sahaja yang saya merasakan ia berat sebelah, malah perjanjian konsesi tol juga saya kira ia adalah berat sebelah, cuma pada hemat saya kita harus berdamai dan capai persetujuan, asalkan kita bersatu dalam bersetuju untuk bersetuju, bersetuju untuk tidak bersetuju,” katanya mengulas cadangan wakil mahasiswa pada Majlis Deklarasi Prioriti 2016 anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM) di Hotel Seri Pasific, hari ini.

Kenyataan Zahid itu seolah-olah merujuk kepada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad susulan beberapa isu yang disifatkan berat sebelah khususnya kenaikan tambang ERL sebanyak RM55 daripada RM35.

“Inilah legasi yang terpaksa ditanggung, bukan nak lempiaskan, bukan kita nak menolak ketidak tanggungjawaban, tapi ini akibat daripada kebersamaan apa yang diputuskan dulu.

“Sekarang kita lunaskan kebertanggungjawab tapi rakyat jangan salahkan kita dan memuji kerajaan yang dulu sahaja, cuma kita kena tanggung risiko bersama apa yang kita sedang lakukan sekarang,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Zahid memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bagi menubuhkan Jawatankuasa peringkat tertinggi yang bertujuan membincangkan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.