Saya Tidak Pernah Benci Tun M – Kit Siang

253
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang menyatakan beliau tidak pernah membenci bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas sebarang tindakannya pada masa lampau.

Penasihat DAP itu berkata, beliau juga tidak pernah membenci sesiapa kerana di dalam politik sesuatu tidak boleh dicampur aduk dengan perkara peribadi.

“Malahan, apabila saya keluar dari Kamunting, saya jumpa dengannya (Dr Mahathir)..saya tanya padanya yang saya tidak datang kepadanya untuk bertanya kenapa kamu (Dr Mahathir) tangkap saya.

“Tapi saya tanya kenapa kamu (Dr Mahathir) tidak menangkap (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kerana Najib pada ketika itu Ketua Pemuda UMNO,” katanya pada sidang media selepas Program Forum Kedai Kopi di sini hari ini.

Kit Siang berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau ada menanam perasaan benci terhadap Dr Mahathir

Beliau merupakan salah seorang ahli politik yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Veteran DAP itu ditahan semasa Operasi Lalang pada tahun 1987 selepas dituduh membangkitkan perasaan perkauman ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas adakah beliau tidak berpuas hati terhadap perubahan yang dilakukan oleh Dr Mahathir semasa mentadbir negara, Kit Siang berkata, “Apa yang saya sebutkan terhadapnya pun telah menjadi perkara awam”.

Menurutnya, apa yang penting sekarang adalah bekerjasama bersama-sama untuk menyelamatkan negara.