Saya Tidak Akan Sesekali Menyerah Kalah – Najib

92
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO menegaskan beliau tidak akan sesekali menyerah kalah walaupun kepimpinannya dikritik dan berdepan dugaan yang cukup hebat.

Datuk Seri Najib Razak berkata, biarpun kepimpinannya diserang bertubi-tubi pelbagai pihak, beliau berjanji akan tetap terus ke hadapan bagi merungkai segala permasalahan dan menyelesaikannya untuk terus memimpin UMNO mara menuju kemenangan.

“Biar menggunung cabaran menghalang, meski hebat apa pun tentangan yang tiba, saya tidak boleh sesekali menyerah kalah, bahkan dengan beraninya harus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya, untuk terus memimpin UMNO mara menuju kemenangan.

“Saya akan terus melangkah ke hadapan dalam mengharung asakan dan dugaan yang menimpa saya.. pada hemat saya, kepimpinan itu bukan soal kebongkakan menongkat langit, bukan juga mengumpul orang di sana sini, untuk mengata dan menuduh sesuka hati,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Dalam ucapan itu, Najib juga mengingatkan ahli parti Melayu terbesar itu supaya menggunakan saluran yang betul untuk menyalurkan segala pandangan dam permasalahan yang timbul.

“I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul.

“Jika sekalipun pada suatu masa kelak, baton kepimpinan ini akan diserahkan kepada orang lain, to me (bagi saya),…. I can’t just abandon our cause and drop our mission (saya tidak boleh abaikan masalah dan membalakangkan wawasan parti), tanpa dengan terlebih dahulu berikhtiar, mempastikan bukan sahaja isu-isu berbangkit dilangsaikan.

“Malah, keadaan parti dan jemaah ini hendaklah kembali dipulihkan seperti sediakala, sebabnya jika tidak seperti yang dinasihatkan oleh alim ulama, saya tidak boleh menjadi seorang pengecut, bahkan, itu bacul namanya.

Dalam pada itu, Najib juga mengingatkan seluruh ahli UMNO bahawa prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan adalah tunjang bagi meneruskan kelansungan parti. “Kerana pemimpin itu, sebenarnya tidak lahir di bilik-bilik kuliah, sebaliknya pemimpin itu muncul di gelanggang dan di celah-celah kemelut supaya mampu menangani cabaran dan dugaan,” katanya.

Menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib menjelaskan bahawa masalah itu sedang ditangani dan dalam proses penyelesaian.