Saya Tetap Setia Kepada UMNO, Tidak Akan Sertai Parti Lain – Muhyiddin

179
0
SHARE

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesetiaannya kepada Umno tetap utuh dan sama sekali tidak akan meninggalkan parti keramat itu untuk menyertai parti lain.

Sehubungan itu, timbalan presiden Umno memberi ingatan kepada parti lain terutama pembangkang, agar tidak mengambil kesempatan untuk memujuknya menyertai parti mereka kerana kesetiaannya kepada Umno sama sekali tidak berbelah bahagi.

“Tak payah datanglah untuk memujuk saya (menyertai mana-mana parti) kerana itu semua tak layan.

“Saya ‘totok (jati) setotok totoknya’ (dalam perjuangan Umno) orang Melayu yang berjiwa Umno dan saya sama sekali tidak akan pecah amanah dalam perjuangan (Umno),” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Panchor di sini, Jumaat.

 Sebelum itu Muhyiddin turut menyertai hampir 1,000 jemaah melakukan solat hajat dan tahlil di masjid itu.Ucapan lebih 40 minit itu adalah yang pertama oleh Muhyiddin selepas beliau digugurkan daripada senarai Kabinet terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas, dan digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kepulangan Muhyiddin ke Parlimen Pagoh yang juga pertama kali selepas rombakan Kabinet itu sangat dinanti-nantikan oleh penyokong dan pengundi beliau yang ingin mengetahui hala tuju perjuangannya selepas ini.

Anggota Parlimen Pagoh itu berkata beliau masih mempunyai tugas besar untuk perjuangan bangsa, agama dan negara kerana masih mempunyai jawatan sebagai timbalan presiden Umno.

“Saya masih ada tugas. Saya masih timbalan presiden Umno dan timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN). Ini amanah saya untuk bantu presiden Umno. Apa yang dilakukan untuk memajukan negara dan mahu rakyat terus menyokong parti demi agama dan negara,” katanya.

“Saya takut dengan keadaan hari ini jika tidak ada langkah tegas untuk menanganinya rakyat tidak akan percaya dengan kita lagi,” kata Muhyiddin.

Sehubungan itu, katanya, beliau berhak untuk pergi ke mana-mana bahagian Umno untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian kerana itu adalah sebahagian tugasnya sebagai timbalan presiden Umno.

Kepada penduduk di Parlimen Pagoh, Muhyiddin juga memberi jaminan perancangan besarnya untuk merealisasikan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh akan terlaksana juga walaupun beliau bukan lagi menteri pendidikan.

“Ini projek untuk rakyat dan bukannya projek peribadi dan saya berharap menteri berkenaan meneruskan projek ini,” katanya.

Kata Muhyiddin lagi, sepanjang kariernya sebagai wakil rakyat di bahagian Pagoh selama 37 tahun, beliau telah melakukan tugas sebaik mungkin untuk memajukan kawasan itu.

“Yang penting rakyat boleh menilai apa yang saya buat selama ini,” katanya.

Beliau kemudian mengulangi kenyataannya yang menerima dengan baik apa yang telah ditakdirkan terhadap dirinya kerana beliau yakin ada rahmat di sebalik penggugurannya daripada Kabinet itu.

Sebelum itu, Muhyiddin mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pemimpin Umno bahagian itu di Kompleks Seri Pekembar di sini.

Beliau turut melambai tangan kepada jurugambar yang hadir untuk merakamkan kehadirannya bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.