Saya Tak Terlibat Komplot Gulingkan Kerajaan – Ku Li

722
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah menyangkal dakwaan terbabit dalam sebarang komplot untuk menggulingkan kerajaan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gua Musang itu hanya tersenyum apabila ditanya sama ada komplot seumpama itu benar-benar wujud.

“Mungkin ada, mungkin tidak,” kata veteran Umno itu apabila didekati wartawan pada majlis sambutan Aifilfitri Persatuan Anak Gua Musang di Taman Alam Sutera di sini.

Razaleigh menjelaskan, beliau masih menyokong kerajaan tetapi sebagai Ahli Parlimen tentunya perlu bercakap dan melakukan perkara yang benar.

Terdahulu pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, wujud gerakan untuk menggulingkan kerajaan oleh pembangkang dan didalangi pemimpin Umno.

Beliau berkata, ada pemimpin yang cuba mendapatkan akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik anggota Parlimen Barisan Nasional menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘jalan belakang’.

“Individu itu adalah pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang baru dibebaskan dan kini bekerjasama dengan 97 Ahli Parlimen pembangkang untuk menentang kerajaan,” katanya.