Saya Tak Pernah Tanya Pak Lah Pasal Derma UMNO – Najib

389
0
SHARE

KEPALA BATAS: Hal berkaitan dana politik dalam Umno adalah di bawah budi bicara presiden parti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang merupakan Presiden Umno berkata, beliau tidak pernah mempersoalkan mengenai dana parti selama enam tahun beliau menjadi timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya tak pernah persoal beliau mengenai perkara yang saya tahu bahawa ia adalah di bawah budi bicara presiden parti.

“Bagaimana presiden mendapatkan dana itu, mengenai siapa yang menyumbangkannya, ia adalah budi bicara presiden parti.

“Jangan sekali-kali kita membincangkannya secara umum atau dalam mesyuarat parti secara tertutup kerana semuanya adalah hak eksklusif presiden dan bendahari.

“Malah semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pun, Pak Lah (Abdullah) tidak pernah mempersoalkannya.

“Kenapa saya dipersoalkan bila saya sekarang menjadi presiden parti? Kerana apa yang saya lakukan saya untuk kepentingan parti.

“Apa yang saya lakukan tidak bertentangan dengan undang-undang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mengesahkannya,” kata Najib pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas pada Ahad.