Saya Tak Bodoh Mahu ‘Bunuh’ UMNO – Shafie

123
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shafie Apdal menegaskan teguran dan kritikannya terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan bertujuan untuk menghancurkan parti itu.

“Bukan ertinya bila tegur dan beri pandangan kita nak matikan Umno. Tak ada, tak terlintas langsung dalam hati nak matikan Umno.

“Takkanlah bodoh, saya selaku naib presiden nak tegur, beri pandangan untuk matikan Umno,” kata naib presiden Umno itu ketika ditemui di pejabatnya di sini, Selasa.

Selain itu, Shafie memberi peringatan kepada Umno supaya berhati-hati dalam tindakannya menghukum ahli.

“Umno bukan kuat sangat untuk berhadapan dengan cabaran. Apabila ramai kita pecat, jangan anggap kita akan lebih kuat.

“Kita perlu meramaikan ahli, banyakkan sokongan bukan mengurangkan sokongan,” katanya.

Shafie yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah digugurkan daripada Kabinet Najib pada Julai lalu susulan kritikannya berhubung dakwaan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana politik bernilai RM2.6 bilion.

Susulan itu beliau turut berhadapan tindakan apabila dihalang daripada menjalankan fungsinya sebagai naib presiden Umno.

Ditanya sama ada beliau menyesal dengan tindakannya sebelum ini, Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan beliau akan terus menjalankan peranannya sebagai wakil rakyat.

“Saya tak pernah menyesal kerana saya diamanahkan oleh rakyat. Apa ertinya saya menjadi wakil kepada rakyat kalau saya tak mewakili rakyat?

“Saya wakil kepada parti Umno maka saya suarakan untuk kebaikan Umno, bukan kebaikan saya.

“Walaupun wujud kemungkinan hingga mengakibatkan sesuatu (tindakan), kita kena terima hakikat,” katanya.

Selain itu, Shafie menegaskan bahawa beliau akan terus setia bersama Umno.

“Tak ada salah dengan parti ini, tapi cara mentadbir parti adalah penting,” katanya yang sudah hampir 30 tahun dalam kerajaan dan parti.

SHARE
Previous articleSokong Pemimpin Sedia Ada Dan Bukan Buat Kumpulan Serpihan – Zahid
Next article15 Pemidato UMNO Rebut RM69 Ribu