Saya Faham Kos Sara Hidup Rakyat – Najib

292
0
SHARE

KUALA LUMPUR: “Saya amat memahami isu kos sara hidup rakyat,” itulah kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jelasnya, Kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan bagi meringankan beban rakyat. Namun atas faktor-faktor tertentu, kenaikan harga sesetengah barangan tidak dapat dielakkan.

“Pertama sekali, adalah faktor luar yang memberi tekanan terhadap ekonomi negara.

“Apabila harga minyak mentah dunia turun, maka pendapatan Kerajaan berkurangan. Dalam konteks ini, dijangka lebih daripada RM30bilion pada tahun hadapan.

“Maka sukarlah untuk Kerajaan melakukan campur tangan seperti menambah subsidi,” tulisnya di blog.

Katanya lagi, apabila pendapatan negara berkurangan, para pelabur akan menjual Ringgit untuk melabur di negara yang tidak terkesan dengan kejatuhan harga minyak.

“Kesannya, nilai Ringgit kita menguncup menyebabkan harga barangan import menjadi lebih mahal. Jika dilihat, trend Ringgit kita hampir selari dengan trend harga minyak,” jelasnya.

Disebabkan kenaikan beberapa harga barangan, Najib menyatakan ada pihak tertentu cuba menyalahkan Kerajaan semata-mata.

Walhal Kerajaan sedang berusaha dengan gigih mencari jalan bagi mengawal harga barang yang naik akibat faktor luaran.

“Contohnya, Kerajaan telah mengumumkan diskaun-diskaun khas pengangkutan awam baru-baru ini.

“Kerajaan juga sedang meneliti langkah-langkah lain yang perlu dan mampu dilakukan oleh kita,” katanya lagi.