“Saya Dah Beritahu Najib, Beri Keterangan Saya Dah Beritau SPRM, Segerakan Siasatan” – Apandi

282
0
SHARE

PETALING JAYA: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberikan tempoh sehingga akhir tahun ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menemubual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung derma RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya.

Dalam temubual dengan portal berita The Malaysian Insider, Apandi berkata SPRM perlu, lambat laun, menyerahkan fail siasatannya kepada beliau dan beliau mahukan satu fail lengkap dengan keterangan Najib.

Apandi berkata beliau juga telah memaklumkan kepada Najib bahawa beliau perlu disoal dan Najib juga bersetuju dengannya.

Apandi berkata beliau telah mengarahkan SPRM melengkapkan siasatan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma RM2.6 bilion sebelum akhir tahun ini, dengan mengambil kira kenyataan Majlis Raja-Raja dan juga kebimbangan orang ramai.

Bulan lalu, Majlis Raja-Raja dalam satu kenyataan menggesa kerajaan melengkapkan siasatan 1MDB dengan seberapa segera yang mungkin.

“Serta-merta selepas kenyataan Majlis Raja-raja, pada malam itu sendiri, saya menghantar mesej kepada SPRM, ‘Hello, lebih baik anda cepat’.

“Dan kemudian, untuk memastikan mereka mempercepatkan (proses), saya kata, ‘selesaikan siasatan pada hujung Oktober. Itu arahan saya’,” katanya.

Tetapi, SPRM kemudian telah memberitahunya bahawa adalah ‘mustahil’ untuk mereka menyiapkannya sebelum hujung Oktober dan meminta tarikh itu ditukar kepada akhir tahun ini.

“Baiklah. Sebab kita tak boleh paksa. Lalu mereka datang kembali, dan berkata: ‘Kami memerlukan sekurang-kurangnya sebulan lagi atau lebih.’ Saya kata, ‘saya mesti ada tarikh akhir. Jika anda tanya kepada orang yang bekerja di bawah saya, apabila saya kata anda lakukannya hari ini, saya lebih suka ia dilakukan semalam. Itulah gaya saya. Anda tanya ini kepada sesiapa sahaja yang pernah bekerja dengan saya,” katanya.

Apandi berkata, SPRM perlu menyerahkan fail itu kepada beliau pada masa itu, ‘dengan apa cara sekalipun’, kerana beliau sudah memberi mereka masa yang cukup.

Menjawab soalan sama ada beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa beliau perlu memberi kenyataan, Apandi berkata: “Ya. Dan lambat laun, sebelum mereka memberi saya failnya, PM mesti beri keterangan. Anda boleh tulis itu.”

SHARE
Previous articleTolak Bajet 2016 Tak Akan Sebabkan “Government Lock Down” – Pakatan Harapan
Next articleJAKIM Terima Kritikan Perbaiki Kelemahan, Bukan Pandangan Ekstrem – Asyraf Wajdi