Saya Bukan ‘Yes Man’ – Muhyiddin

1321
0
SHARE

PAGOH: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan beliau bukan seorang yang mengamalkan prinsip “yes man” kerana sebagai pemimpin, beliau perlu menegur sekiranya berlaku kesilapan dalam pentadbiran.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, sejak digugurkan daripada Kabinet, beliau dilarang menyentuh isu membabitkan dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isu tersebut menjadi punca beliau disingkirkan daripada Kabinet kerana sering mengkritik dengan lantang dan terbuka cara perdana menteri dan kerajaan mengendalikan syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

“Kalau kawan kita buat sesuatu, kita tegur. Dia tengok kita dengan muka garang, kita sayang dia. Ini pandangan saya.”Mungkin dia tak setuju. Tak apalah, dia bos. Yes bos!, You okay bos? Everything alright bos? Tapi saya bukan ‘yes man’!” katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di Johor hari ini.

Dalam ucapannya, Muhyiddin juga dilihat cuba untuk tidak menyebut perkataan “1MDB”, sebaliknya perwakilan yang hadir menyebut nama syarikat itu.

“Saya diberi amaran jangan cakap pasal 1MDB. Sejak bila rakyat di Malaysia dikunci mulutnya. Apa isunya?” soalnya dan disambut laungan “1MDB” oleh perwakilan.

“Saya tidak sebut…” kata Muhyiddin dan menambah: “Mungkin mimpi pun kita akan fikir tentang apa?” Lalu  perwakilan serentak menyahut: “1MDB”.

Turut kelihatan di sekitar perkarangan kompleks sukan itu kain rentang yang tertera perkataan “Dare to Speak Out TSMY”, merujuk singkatan namanya dan “Kami semua menyokong kepimpinan, tetap setia dan teruskan perjuangan parti” dengan gambar Muhyiddin memenuhi kain rentang tersebut.

Beliau dijangka merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pagoh di lokasi sama esok.

Muhyiddin turut menegaskan beliau juga tidak akan sesekali melepaskan jawatan timbalan presiden Umno.

“Saya takkan letak jawatan (timbalan presiden). Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang dilihat menentang parti,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur, mengatakan selepas digugurkan daripada Kabinet, beliau kini mampu menjalani kehidupan seperti rakyat biasa.

“Selepas peristiwa itu (gugur dari Kabinet), dunia yang tidak saya kenali lebih dekat dapat saya kenali.

“Kebebasan yang sewajarnya ada mungkin terhalang dan tersekat (selama ini). Mungkin selama 37 tahun saya tidak boleh lakukan perkara biasa seperti yang orang lain lakukan. (Sekarang) nak sarapan kedai mamak mana pun boleh,” katanya.

“Bila saya digugurkan macam nikmat Tuhan itu dikembalikan kepada saya. Tidak perlu pergi pejabat, kerana tiada pejabat lagi,” kata Muhyiddin mengulas situasi beliau kini susulan rombakan Kabinet 28 Julai lalu. – INSIDER