Saya Akan Jadi Hos Terbaik Sambut Najib – Khaled Nordin

899
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhasrat untuk memberikan sambutan terbaik apabila presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke Pasir Gudang untuk merasmikan mesyuarat Umno di bahagian itu pada Ahad.

Beliau memberi jaminan itu selepas ucapannya dalam sebuah majlis Umno dilihat lantang mengkritik kepimpinan parti itu.

“Saya amat gembira dan berbangga presiden parti akan hadir ke mesyuarat bahagian saya. Ia bukan mudah untuk mendapatkan kunjungan Datuk Seri Najib dan ia satu penghormatan kepada kami.

“Saya akan menjadi hos terbaik,” kata Khaled ketika ditanya sekiranya beliau merancang untuk menyampaikan ucapan ‘panas’ sempena kehadiran Najib nanti.

Pada majlis pembukaan Wanita Umno bahagian itu Ahad lalu, Khaled berkata Umno tidak boleh berdiam diri jika rasuah menjadi budaya atau sekiranya amanah dikhianati.

Beliau mengingatkan para perwakilan bahawa perjuangan Umno adalah untuk rakyat dan bukan membela golongan tertentu.

“Apa yang saya katakan dalam ucapan saya tempoh hari hanyalah sebagai peringatan untuk melindungi parti dan mempertahankan perjuangan parti. Ia bukan sesuatu yang tidak pernah dikatakan sebelum ini,” katanya.

Khaled berkata, beliau tetap membangkitkan isu di peringkat akar umbi parti yang perlu disedari pucuk tertinggi pimpinan parti itu.

“Apa yang akan saya katakan adalah apa yang ahli Umno Johor mahu pucuk pimpinan parti perlu ketahui. Saya mewakili mereka dan akan menyuarakan pandangan bagi pihak mereka,” katanya.

Sebagai contoh, kerajaan tidak hanya mensasarkan ekonomi pendapatan tinggi sahaja tetapi harus mengutamakan jaringan keselamatan sosial.

“Ini juga akan menjadi peluang terbaik bagi Presiden Umno untuk menyedarkan ahli parti mengenai isu semasa yang memberi kesan kepada kerajaan dan parti,” kata Khaled.

Najib turut akan merasmikan mesyuarat Umno bahagian Bandar Tun Razak pada Sabtu.

Sekurang-kurangnya 30 daripada 191 Umno bahagian akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada hujung minggu ini.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan mesyuarat Umno di bahagian Pagoh pada Sabtu.

Malah beliau turut akan berada pada majlis pertemuan Sayap Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Ahad ini.

Sementara itu, Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berada pada majlis perasmian Umno bahagian Tanah Merah manakala Datuk Seri Shafie Apdal akan berkunjung ke Parit Sulong.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula akan merasmikan mesyuarat Umno bahagian Sembrong, Pandan dan Bukit Bintang pada hujung minggu ini.