Saya Akan Bantu Najib Jaga Ketenteraman Awam – Nur Jazlan

213
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan Kabinet pada Selasa, berkata platform itu akan digunakannya untuk membantu menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

Beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kepercayaan yang diberikan.

“Saya berjanji untuk membantu beliau dalam menjaga ketenteraman awam serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Saya juga akan membantu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri.

“Pada masa sama, saya akan melepaskan jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),” katanya dalam kenyataan susulan rombakan itu.

Menurutnya, semua prosiding yang diatur pada Ogos termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad akan ditangguhkan sehingga barisan PAC baharu dilantik pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Anggota Parlimen Pulai itu mengambil alih jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang sebelum ini disandang Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Rombakan Kabinet yang diumumkan Najib di Putrajaya itu antara lain menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dan tempatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri diambil alih oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, menyifatkan pelantikannya sebagai amanah amat besar untuk beliau laksanakan sebaik mungkin.

“Saya akan membantu Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional yang dalam usaha untuk mentransformasikan kawasan luar bandar supaya tidak ketinggalan ketika negara mencapai status negara maju menjelang 2020,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ahmad Jazlan, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata usaha akan dilakukan bagi meningkatkan pendapatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau dikenali sebagai ‘Bottom 40’ (B40) khususnya di kawasan luar bandar.

Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon pula berkata menerusi pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, beliau akan berusaha membawa sektor pendidikan ke tahap lebih tinggi untuk semua masyarakat.

“Terima kasih kepada perdana menteri atas pelantikan itu serta sokongan daripada parti (MCA). Ia merupakan tanggungjawab berat dan sangat penting buat saya,” katanya.

Chong berkata beliau telah berjumpa dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong bagi mendapatkan pandangan mereka.