Saya Adalah ‘Yes Man’ Dan ‘No Man’.. – Muhyiddin

1309
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri yang digugurkan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengulangi ikrar untuk terus bercakap perkara yang benar atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden UMNO yang masih disandangnya.

Sebelum itu, beliau memuji keberanian Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara yang menjadi bahagian kedua menjemputnya selepas Pemuda UMNO Pagoh.

“Saya bertanya jadikah (jemputan)? Semak dengan ketua bahagian dulu. Lepas itu saya bertanya beranikah?” guraunya mengenai jemputan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara 2015.

Jelasnya lagi sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan, beliau berhak untuk bertanya bagi mendapatkan kepastian dan penjelasan. Muhyiddin yang kelihat agak vokal mengulangi komitmen untuk terus bersuara meskipun dinasihatkan untuk berdiam berikutan ketiadaan jawatan dalam kerajaan.

“Tak kan saya nak ‘urm-urm’ macam orang bisu?” Tambahnya mengajuk gaya bahasa isyarat yang disambut dengan gelak ketawa hampir 300 perwakilan.

Beliau kemudian memetik hadis Rasulullah SAW di dalam bahasa Arab dan membacakan terjemahan serta mengupasnya dengan panjang lebar.

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah dengan tangannya (kekuasaan). Jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman”.

“Saya hanya bertanya. Salahkah?” Soalnya yang disambut perwakilan, “Tidak!”.

Beliau turut menafikan dakwaan berkomplot dengan pembangkang untuk menjatuhkan perdana menteri dan menyifatkan pengguguran bulan lalu hanya berpunva daripada kritikannya terhadap 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tiada soal lain. Saya menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak 29 April 2009. Pernah sekali anda mendengar saya mempertikaikan mana-mana pemimpin dan polisi-polisi kerajaan?”

Menurutnya lagi, beliau adalah ‘yes man’ jika dalam perkara yang baik dan adalah ‘no man’ dalam perkara-perkara yang tidak baik kepada parti dan kerajaan.

“Saya mana pernah hentak meja. Mengangkat suara pun tidak pernah. Saya beri pandangan secara berhemah. (Adakah) Salah? Habis kenapa gugurkan saya?” ulasnya yang turut mengakui kerap bertanya di dalam mesyuarat parti dan kerajaan mengenai kesan 1MDB.

Ucapan beliau dilihat menjawab kriteria anggota kabinet yang bukan ‘yes man’ dan ‘no man’ yang diucapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam siri perasmian mesyuarat bahagian UMNO di seluruh negara.

Sebelum mengakhiri ucapannya lebih sejam itu, Muhyiddin sempat melontarkan persoalan terbaru tentang status terkini dana derma politik berjumlah RM2.6 bilion yang mencetuskan kontroversi dengan pendedahan The Wall Street Journal.

“Sebelum akaun ditutup duit banyak tak di dalam? Mesti ada baki. Kalau tiada baki, tidak perlu tutup. Akaun akan tertutup dengan sendiri.”