Sasaran 111 Emas Realistik – Khairy

22
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu semua pihak bersikap profesional dalam menilai sasaran 111 pingat emas yang sudah ditetapkan kontinjen Malaysia bagi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Sambil menyifatkan ia sebagai sasaran paling realistik, Khairy berkata sepatutnya kita harus mengubah mentaliti kelas ketiga yang lebih mementingkan sasaran pingat daripada prestasi atlet.

“Kalau di negara sukan berprestasi tinggi mereka tidak mengumumkan sasaran pingat emas, kalau iya pun mereka hanya meletakkan sasaran keseluruhan.

“Ia (pengumuman sasaran pingat emas) seperti sudah menjadi budaya kita sama seperti mentaliti negara dunia ketiga.

“Sepatutnya kita tidak boleh membuat perbandingan dengan pencapaian edisi 2001 kerana sukan, atlet dan keadaan yang sama sekali berbeza,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melawat venue kriket di Oval Kinrara, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan segelintir pihak berikutan sasaran 111 pingat emas yang diumumkannya semalam menyamai pencapaian ketika Malaysia muncul juara keseluruhan edisi 2001 di laman sendiri.

Bagi Khairy beliau mempunyai alasan tersendiri, malah meminta semua pihak menghentikan segala tindakan untuk membandingkan pencapaian edisi 2001 dan 2017.

“Saya letak sasaran berdasarkan kepada sukan yang dipertandingkan dan juga prestasi atlet yang ada, ia satu tindakan yang kurang bijak jika saya meletakkan sasaran berdasarkan pencapaian 16 tahun lalu.

“Kalau kita lihat pada edisi 2001 sasaran yang ditetapkan ketika itu adalah lebih 80 pingat emas dan akhirnya Malaysia muncul juara keseluruhan dengan mendapat 111 pingat emas.

“Saya tidak kisah sasaran kita sama seperti pencapaian 2001 tetapi apa yang lebih penting sasaran itu paling realistik dan mampu melonjakkan kita muncul juara keseluruhan… Saya tidak mahu atlet tertekan.”