Sampai Masa UMNO Singkir Muhyiddin, Mukhriz – Mahdzir

425
0
SHARE

PADANG TERAP: Sudah sampai masanya UMNO bertindak tegas terhadap golongan pemimpin yang kini terbukti tidak lagi ‘sejiwa’ dengan parti itu, malah lebih teruk sanggup bersekongkol dengan pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sudah tidak layak lagi untuk bersama UMNO.

“Mereka (Muhyiddin dan Mukhriz) kini sudah jadi sebahagian daripada pembangkang dan mula membangkang Barisan Nasional (BN), ..jadi saya kira sudah sampai masanya untuk parti ambil tindakan ke atas mereka.

“Pada saya kalau mereka sudah pergi sejauh itu (duduk semeja dengan pembangkang), tak perlulah lagi mereka ada dalam UMNO atau BN, ..lebih baik mereka berterus-terang saja yang mereka sudah ada di sebelah ‘sana’ (pembangkang),” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Muhyiddin dan Mukhriz yang dilihat semakin berani duduk sepentas bersama kepimpinan pakatan pembangkang dalam perhimpunan tertutup di Shah Alam, Selangor hari ini.