SAMM Tuduh Tun M Penipu

530
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan PKR menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penipu.

Tuduhan itu susulan kenyataan bekas Perdana Menteri yang menasihatkan pembangkang supaya terus bekerja keras menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak namun dalam masa sama harus mengekalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, tujuan sebenar Dr Mahathir bukan mahu menyelamatkan Malaysia mahupun UMNO tetapi untuk melindungi kroni.

“Dr Mahathir adalah penipu, setiap kata-katanya adalah penipuan. Dr Mahathir hanya tidak menipu ketika berdiam diri, itupun kita harus berhati-hati kerana pastinya Dr Mahathir yang berdiam itu sedang merancang untuk penipuan seterusnya,” katanya.

Dia berkata, kenyataan Dr Mahathir itu menjadi tamparan hebat buat ahli politik pembangkang yang selama ini menjadikan populariti Dr Mahathir sebagai modal perlawanan dan pedoman dengan perkiraan ‘musuh kepada musuh adalah rakan’.

“Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempelawa Dr Mahathir bersama DAP untuk melawan Najib. Sementara, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyucikan dosa-dosa Dr Mahathir apabila secara terbuka menyambut seruan menyingkirkan Najib.

“Hampir semua Ahli Parlimen Pembangkang mengikut rentak Dr Mahathir.

“Sekarang apa kata parti pembangkang? Apakah parti pembangkang akhirnya akan akur kepada seruan Dr Mahathir mengekalkan pentadbiran BN?, katanya.

Edy Noor berkata, Najib adalah Perdana Menteri pilihan Dr Mahathir bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Apakah kita rakyat Malaysia harus terus memberi ruang kepada Dr Mahathir menentukan siapa yang berhak menjadi Perdana Menteri ?, soalnya.

Dia berkata, SAMM tidak pernah sesekali bersetuju dengan idea menurunkan Najib untuk digantikan dengan seorang lagi pemimpin politik daripada UMNO/BN.

Katanya, SAMM menuntut diwujudkan Kerajaan Sementara (Caretaker Government) meliputi semua parti politik bagi menyelesaikan krisis yang sedang berlaku dan mempersiapkan Malaysia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang bersih, adil dan telus dalam tempoh maksima 18 bulan.

Secara sinis, dia mengucapkan tahniah kepada Lim Kit Siang dan Wan Azizah yang meng’hero’kan Dr Mahathir dan seterusnya menyokong agenda ‘kekal BN’.

SHARE
Previous articleTiada Wang KWSP Dalam Akaun Najib – Zahid
Next articlePergi Tanya Rahman Dahlan – Azmin