Saifuddin Aset, Bukan Sampah – PKR

58
0
SHARE

PETALING JAYA: Bekas pemimpin Umno, Datuk Saifuddin Abdullah merupakan aset kepada PKR dan bukannya “sampah” seperti yang dikatakan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam setiausaha agung Umno itu melabelkan PKR tersilap langkah kerana menerima Saifuddin yang disifatkan liabiliti dan sampah kepada parti Melayu itu.

“Itu pendapat dia. Dia boleh kata apa dia mahu. Bagi kami, Saifuddin adalah aset,” kata presiden PKR itu pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini. ‎

Dr Wan Azizah turut menambah bekas ahli Parlimen Temerloh itu akan turut bertanding mewakili PKR dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau bagaimanapun berkata, PKR akan cuba mengelak daripada pertembungan 3 penjuru pada pilihan raya akan datang.

PAS yang tidak menyertai Pakatan Harapan meletakkan calonnya Nasrudin Hassan bagi melawan Saifuddin pada pilihan raya lalu.

“Kami sedang mempertimbang pilihan-pilihan lain,” katanya.

Saifuddin, 54 menyertai PKR kerana tidak berpuas hati dengan cara Barisan Nasional (BN) menguruskan isu  1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM 2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak. – INSIDER