Ronaldo Pakai Pun “Macho” Apa, Merah Jambu Juga? – Dr Vida

563
0
SHARE

Oleh: Wartawan Mysuara

KUALA LUMPUR: Pengasas produk kosmetik Qu Puteh meminta penyokong bola sepak Kelantan berfikiran positif dengan syaratnya untuk mencantikkan Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu.

Datuk Seri Hasmiza Othman berkata merah jambu bukan warna yang pelik kerana ia sudah lama dipakai kelab bola sepak besar di Eropah, malah pemain akan dilihat lebih segak mengayakan warna itu.

“Tidak salah berbuat demikian. Ia warna fenomena di Eropah kerana kelab gergasi seperti Real Madrid turut mengenakan warna merah jambu sebagai warna jersi “away”.

“Cristiano Ronaldo? Mengenakan  jersi “pink”, menang lagi, macho pula, pink bermaruah dan memodenkan diri,” kata pemilik Vida Beauty Sdn Bhd seperti dipetik mStar Online hari ini.

Hasmiza, juga dikenali Datuk Seri Vida, turut merancang menyediakan ruang khas kepada penyokong wanita di stadium Kota Baru jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerimanya sebagai penaja.

Katanya, penyokong pasukan The Red Warriors (TRW) perlu berani menerima perubahan itu dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negeri.

“Saya ada cita-cita besar terhadap pasukan ini, jadi (penyokong) perlu berani terima perubahan yang pastinya akan menggembirakan mereka dan (perubahan) menjadi mercu tanda kepada Kelantan,” katanya.

Sementara itu, KAFA dijangka memuktamadkan keputusan penajaan Vida Beauty sejurus selepas presidennya Tan Sri Annuar Musa kembali daripada mengerjakan umrah Khamis.

Walaupun bersetuju dengan tawaran awal itu, naib presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail berkata beberapa perkara perlu diperhalusi termasuk jumlah pulangan yang boleh diberikan kepada penaja.

Mengenai pertukaran warna stadium, katanya, KAFA boleh memberi persetujuan tetapi ia  tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.

Sebelum ini, datuk Vida meletakkan dua syarat untuk menaja TRW iaitu stadium ditukar kepada merah jambu dan nama skuad Kelantan ditambah jenamanya Pamoga Qu Puteh TRW.

SHARE
Previous article“Kalau KAFA Tidak Mahu Ikut Syarat, Saya Taja Selangor” – Dr Vida
Next articleMAS Tidak Perlu Ikut Patuh Syariah Rayani Air – Tun M