RM70,000 Untuk Perangi Denggi Di Selangor

94
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri memperuntukan RM70,000 bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memerangi kes denggi di kawasan masing-masing.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk menurunkan kadar statistik kes denggi.

“Kita turut mencadangkan daripada jumlah RM70,000 itu, RM50,000 digunakan untuk membeli racun ‘fogging’.

“Kita meminta PBT membeli racun yang efektif kerana racun ‘fogging’ yang diguna pakai sekarang kurang berkesan,” katanya.

Daroyah berkata, pihaknya akan berbincang dengan PBT pada Khamis ini.

“Kita akan memanggil wakil PBT, mereka perlu memberi cadangan yang akan dilaksanakan, RM10,000 wang peruntukan itu juga boleh digunakan tujuan promosi, meningkatkan lagi tahap kesedaran masyarakat berhubung kes denggi.

“Manakala RM10,000 lagi untuk PBT membeli peralatan yang akan digunakan oleh persatuan penduduk yang aktif, bagi membasmi nyamuk Aedes,” katanya.

Dalam perkembangan sama, statistik kes denggi di Selangor meningkat pada bulan lalu.

Daroyah berkata, ia merupakan trend peningkatan kes denggi setiap November, Disember dan awal tahun.

“Kita lihat ia adalah trend, pada tahun sebelum ini tempoh yang sama pada awal tahun turut dilaporkan peningkatan kes denggi di Selangor,” katanya.