Ringgit Jatuh: Pelajar Luar Negara Tidak Ada Masalah

232
0
SHARE

KUALA LUMPUR: MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusof berkata, kejatuhan nilai ringgit tidak banyak memberi impak negatif kepada kos kehidupan pelajar tajaan Malaysia di luar negara.

Idris berkata, ini kerana biasiswa kerajaan terhadap pelajar di luar negara diberi dalam bentuk mata wang asing.

“Sebenarnya pelajar-pelajar yang mendapat biasiswa adalah dalam bentuk wang asing, jadi mereka mendapat biasiswa dalam dolar Amerika Syarikat , dalam British Paun jadi ia tidak membawa masalah sangat kepada mereka (pelajar), kerana mereka dibayar dalam wang asing,” katanya kepada Sinar Online selepas memberikan taklimat Pelan Pembangunan Pendidikan 2015 – 2025 kepada karyawan Kumpulan Media Karangkraf.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai Himpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada 29 sehingga 30 Ogos ini, beliau menyarankan agar pelajar tidak menyertainya bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Tidak payahlah….dalam banyak isu kita selidik dahulu tuduhan, kita lihat kalau kita rasa kerajaan sekarang cukup baik kita pilihlah dia, kalau tidak kita buat keputusan lain, jangan kita huru-harakan keadaan,” katanya.