Ringgit Diunjur Tinggi Minggu Depan

70
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka tinggi berbanding dolar Amerika pada minggu depan dengan unjuran harga komoditi meningkat setelah harga minyak mentah Brent naik daripada paras terendah dalam tempoh 11 tahun pada Rabu.

Seorang peniaga berkata harga komoditi diunjur pulih tidak lama lagi memandangkan penurunan yang tidak dijangka dalam inventori AS, yang menunjukkan potensi bagi eksport dalam pasaran minyak yang terjejas akibat terlebih bekalan.

Minyak mentah Brent, penanda aras global, naik 39 cent kepada US$36.50 setong pada Rabu manakala niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermediate menokok 33 cent kepada US$36.47 setong.

“Harga minyak yang lebih tinggi akan melegakan negara-negara pengeluar seperti Malaysia dan mengurangkan tekanan terhadap perolehan minyak dan gas yang semakin menyusut,” katanya.

Tambahan pula, beliau berkata kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan yang akhirnya berlaku pada 16 Dis, menghapuskan faktor ketidaktentuan di pasaran.

Bagi minggu dagangan singkat berikutan cuti umum, ringgit susut kepada 4.3070/3136 berbanding dolar Amerika pada Rabu berbanding 4.2870/2940 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Ringgit juga turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0609/0660 daripada 3.0344/0400 dan susut berbanding yen kepada 3.5589/5647 daripada 3.5342/5414.

Mata wang tempatan turun berbanding euro kepada 4.7024/7100 daripada 4.6415/6495 tetapi mengukuh berbanding pound kepada 6.3890/3997 daripada 6.4039/4161.

Pasaran tempatan ditutup pada Khamis sempena sambutan Maulidur Rasul dan pada Jumaat sempena Hari Natal.