Ribuan Banjiri Dataran Merdeka Sambut Hari Kebangsaan Ke-58

501
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ribuan warga kota mula membanjiri Dataran Merdeka, di sini, seawal jam 7.30 pagi untuk bersama dalam acara sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 yang disambut hari ini.

Bertemakan Sehati Sejiwa sebagai mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini, pelbagai acara bakal disajikan buat pengunjung yang hadir.

Peserta perbarisan juga sudah mula mengambil tempat sejak jam 7 pagi tadi, disusuli kehadiran jemputan, termasuk pemimpin tempatan.

Selain acara perbarisan membabitkan peserta dari pelbagai agensi, termasuk awam dan swasta, turut dipersembahkan ialah selingan tayangan multimedia serta acara tarian kebudayaan dan kesenian sebagai melambangkan warisan generasi terdahulu yang harus dipelihara.

Sementara itu, tinjauan aliran trafik di sekitar dataran bersejarah itu ketika ini mula perlahan dan sebahagian jalan mengalami kesesakan, berikutan beberapa laluan utama ditutup sejak 6 pagi tadi bagi memberi ruang kepada persediaan acara perbarisan.

Antara jalan yang ditutup termasuk Jalan Travers/Jalan Damansara (Muzium Negara), Jalan Mahameru/Jalan Damansara (Carcosa), Jalan Mahameru/Jalan Damansara (Susur Muzium Negara), Bulatan Hishamuddin/Jalan Lembah (Masjid Negara), Jalan Perdana/Jalan Lembah, Jalan Kinabalu/Bulatan Hishamuddin (Dayabumi), Jalan Kinabalu/Jalan Hishamuddin (Susur Bukit Aman), Jalan Lembah/Jalan Cenderasari. Leboh Pasar Besar/Jalan Hang Kasturi, Leboh Ampang/Jalan Tun Perak, Jalan Dang Wangi/Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Kuching/Bulatan Dato Onn, Jalan Kinabalu/Bulatan Dato Onn, Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Hishamuddin/Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Parlimen/Bulatan Dato Onn (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), Jalan Dato Onn/Jalan Raja (Kelab Diraja Selangor) dan Jalan Mahkamah Persekutuan.