Respon Tawaran Najib: PAS Masih Setia Dengan PKR – Hadi

187
0
SHARE

KUALA TERENGGANU: PAS sekali lagi menegaskan bahawa pada waktu ini, parti itu adalah rakan tahaluf siyasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan komited dengan kerjasama tersebut sebagaimana yang dicapai dalam muktamar dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS Pusat satu ketika dahulu.

Dalam kenyataan pada Khamis, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS adalah organisasi yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas sebagai rujukan dalam menentukan prinsipnya termasuklah dalam gerak kerja dan tindakan untuk membina masa depan yang sejahtera.

Katanya, lebih enam dekad PAS berjuang membawa Islam dan syariatnya.

PAS mengambil pelbagai ruang dan peluang untuk menyedarkan masyarakat termasuk pemimpin politik dan negara agar meletakkan agama sebagai teras pemerintahan dan penyatuan ummah untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya.

“PAS juga terus berjuang menolak mungkar politik, amalan salah guna kuasa dan tadbir urus, kerosakan akhlak serta rasuah dalam praktis bernegara.

“Pastinya apabila ada suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan rakyat majmuk keseluruhannya, PAS selamanya berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap hasrat perpaduan dalam bermasyarakat berteraskan syariat Allah SWT dengan mana-mana pihak, sama ada Islam atau kalangan bukan Islam,” katanya.

Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada tawaran terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno yang mahu bekerjasama dengan PAS dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung parti itu.

Menurutnya berdasarkan prinsip inilah, maka sebarang perkembangan baharu dalam gerak politik PAS akan dinilai, dibincang, dan diputuskan berbagai peringkat proses dalaman parti, termasuklah perbincangan oleh Jawatankuasa PAS Pusat sehingga mencapai keputusan secara kolektif.

Selain mengulangi pendirian parti itu untuk bersama PKR, PAS juga ingin membuat seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk Umno kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, sama ada politik, sosial mahupun ekonomi.

“PAS beriman kepada Allah bahawa pintu taubat tidak pernah ditutup dan rasa keinsafan yang murni adalah kunci mendapat keampunan daripada Allah,” katanya.