Rakyat Bayar Lebihan Cukai RM13 Bilion Tahun Depan – Rafizi

60
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Rakyat terpaksa membayar cukai tambahan RM13 bilion mulai tahun depan melalui kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), duti eksais (kereta, rokok dan lain), cukai individu dan cukai syarikat.

Dakwaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan-PKR, Rafizi Ramli selepas membezakan peralihan beban cukai kepada rakyat melalui kutipan GST dengan pengumuman kenaikan BR1M sebanyak RM50.

“Peralihan beban cukai kepada rakyat lebih ketara apabila analisa kutipan GST setiap isi rumah dibandingkan dengan pengumuman kenaikan BR1M sebanyak RM50.

“Ini tentunya memberi beban tambahan kepada rakyat,” katanya dalam satu sidang media di Lobi Parlimen.

Rafizi turut menganggarkan bayaran cukai purata setiap keluarga di Malaysia akan mencecah RM27,857 setahun kepada kerajaan berdasarkan bentuk-bentuk cukai seperti yang dinyatakan di atas.

Menjelaskan perbezaan antara kutipan GST dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan, Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR itu juga menyatakan secara puratannya, kerajaan mengutip RM19 sehari dari setiap keluarga daripada cukai GST manakala kenaikan BR1M pula hanya menyumbang 14 sen sehari.