Raja Salman Tidak Akan Turun Takhta – Arab Saudi

45
0
SHARE

PETALING JAYA: Raja Salman Abdul Aziz tidak akan turun takhta atau menyerahkannya kepada anaknya Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kata jurucakap kerajaan Arab Saudi.

“Tidak ada apa-apa kemungkinan Salman akan turun takhta.

“Raja-raja Saudi biasanya akan kekal berkuasa walaupun sakit kerana ia tidak menghalang mereka menjalankan tugas,” kata pegawai yang enggan dinamakan itu kepada Bloomberg.

Ia selepas spekulasi Salman akan turun takhta bagi memberi laluan kepada Mohammed, yang baru-baru ini mengarahkan penangkapan besar-besaran dalam usaha menguatkan pengaruhnya.

Jurucakap kerajaan berkata beliau tidak faham mengapa spekulasi turun takhta itu tercetus sedangkan Salman masih mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang sempurna.

“Mereka yang membuat spekulasi itu adalah golongan yang ‘tidak memahami adat istiadat dan tradisi di Arab Saudi’,” katanya

Beliau memberi contoh Raja Fahd Abdul Aziz yang kekal berkuasa sehingga kematiannya pada 2005 walaupun tenat beberapa tahun terakhir pemerintahannya.

Bagaimanapun, seorang penganalis dan perunding berpusat di Dubai, Graham Griffiths dipetik berkata spekulasi itu sukar dinafikan Riyadh.

“Kerajaan mengalami kesukaran untuk menafikan spekulasi itu ‘kerana tidak seorang pun mengjangkakan mereka mengetahui kemungkinan sebelum ia berlaku’.

“Hasilnya, khabar angin dan spekulasi akan terus bertebaran,” katanya lagi.

Jumaat lalu, saluran televisyen Saudi, Al-Arabiya memuat naik kiriman Twitter mengumumkan Salman akan menyerahkan takhta kepada anaknya, tetapi ia dipadamkan tidak lama kemudian.

Riyadh belum membuat sebarang kenyataan mengenai isu itu.

Spekulasi tentang keputusan Salman untuk turun takhta muncul pada akhir Jun apabila beliau menyingkirkan anak saudaranya Mohammed Nayef untuk digantikan dengan Mohammed.

Pada September, stesyen TV Lubnan, Al-Manar, melaporkan sumber terdekat kerabat diraja berkata Salman akan turun takhta tidak lama lagi kerana masalah kesihatan.