Rafizi Ramli Bersalah, Didenda RM1,800

153
0
SHARE
PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli, didenda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli UMNO melalui satu artikel pada Februari 2014.

Hakim Azwarnida Affandi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Mohd Rafizi, 39, yang didakwa mengikut Akta 504 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Rafizi menjalani tambahan hukuman penjara 10 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Ahli Parlimen Pandan itu didakwa dengan sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli UMNO melalui artikel bertajuk ‘Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?’ dengan niat memecahkan keamanan awam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat The Edge Malaysia Communications Sdn Bhd, Menara KLK, Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara, jam 11.40 pagi, pada 4 Februari 2014.