Rafizi Persoal Najib Abaikan Isu Rohingya Ketika Bertemu Trump

20
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Amerika (AS), Donald Trump langsung tidak menyentuh isu Rohingya sebaliknya menggadai kepentingan negara.

“Semua perkara bersabit kepentingan negara dan kebajikan umat Islam Rohingya yang digembar-gemburkan sebelum ini langsung tidak disentuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata Najib memaklumkan isu pelepasan visa bagi rakyat Malaysia dan membincangkan nasib umat Islam Rohingya menjadikan pertemuan dengan Trump itu penting untuk negara.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dilaporkan berkata lawatan rasmi perdana menteri ke White House turut membawa agenda perbincangan terhadap isu Rohingya.

“Lawatan perdana menteri bertemu presiden AS nanti turut membincangkan isu ini dan diharapkan perkara ini tidak menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak.

“Kita juga berharap hasil pertemuan itu nanti akan memberi satu kata putus dari AS untuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya satu tindakan tegas diambil terhadap negara Myanmar,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sebaliknya, Rafizi berkata lawatan Najib hanyalah “bayaran ufti” untuk mendapatkan masa 30 minit bergambar dengan Trump dan berbincang melibatkan wang rakyat yang akan dilabur untuk membeli kapal terbang buatan AS dan membiayai projek infrastruktur di negara itu.

“Saya nyaris termuntah melihat Najib menjatuhkan martabat rakyat Malaysia dengan membodek Trump dengan berkata ‘Number 1, we want to help you in terms of strengthening the U.S. economy. I come with 3 specific proposals’ (Nombor 1, kita mahu menolong anda menguatkan ekonomi AS. Saya hadir dengan 3 proposal yang spesifik).

Beliau menambah, pertemuan itu bukanlah jemputan hasil dari pengiktirafan Trump kepada kecekapan dan kehebatan Najib, sebaliknya satu jemputan yang diaturkan melalui lobi kerana ia hanya menguntungkan AS semata-mata.

SHARE
Previous articleDitahan Hina Kemangkatan Sultan Abdul Halim
Next articleJangan Kempen Isu GST Untuk Jatuhkan Kerajaan – Kastam