Rafizi Ikrar Dedah Tiga Lagi Pelaburan Tabung Haji Rugi Besar

194
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan terus mendedahkan tiga lagi pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian besar pada minggu ini.

Katanya, sidang akhbar mengenai tiga lagi pelaburan Tabung Haji itu akan dibuat pada hari Selasa, Rabu dan Khamis.

Melalui satu kenyataan akhbar, beliau juga terus mendesak Datuk Seri Azeez Abdul Rahim meletak jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji jika tidak mahu badan kewangan itu dipolitikkan.

“Sebagai Ahli Parlimen yang selalu memberi perhatian kepada kedudukan kewangan institusi milik kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus menyemak kedudukan kewangan dan pelaburan besar Tabung Haji.

“Apatah lagi rekod Datuk Seri Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam menerangkan keputusan-keputusan pelaburan Tabung Haji yang mengundang kontroversi bukanlah baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rafizi merujuk kepada kenyataan Azeez dalam laporan Bernama, Sabtu lalu supaya pihak tertentu tidak mempolitikkan Tabung Haji dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah.

Azzez dilaporkan berkata tindakan pihak berkenaan cuba meracuni rakyat, terutama pendeposit Tabung Haji dan semata-mata bermotifkan politik.

“Kalau nak serang saya, seranglah saya dari segi politik tapi jangan serang saya melalui isu Tabung Haji tanpa usul periksa… hentikanlah,” katanya yang dipetik selepas Program Melestarikan Integriti Tabung Haji Bersama Masyarakat Baling di Dewan Badminton Kupang di Baling.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata beliau tidak pula menampilkan angka-angka untuk menafikan perkara-perkara yang ditimbulkannya selain mengulangi bahawa ia adalah fitnah belaka.

Katanya, pertama kali beliau membangkitkan perkara itu adalah di Dewan Rakyat pada 16 Mac tahun lalu mengenai potensi risiko jika Tabung Haji terlibat dengan 1MDB.

“Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, reaksi Azeez di dalam Dewan Rakyat ialah dengan menjerit ‘bohong’ sedangkan sebulan kemudiannya beliau sendiri terpaksa mengakui bahawa Tabung Haji telah membeli tanah kerajaan yang dianugerahkan kepada 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda.

“Sebab itu, jika beliau tidak mahu Tabung Haji menjadi tumpuan politik, maka sebaiknya Tabung Haji tidak boleh ada campur tangan politik.

“Maka saya mengulangi desakan saya supaya beliau meletakkan jawatan agar seorang tokoh bukan politik dilantik menjadi Pengerusi Tabung Haji,” katanya.

Minggu lalu, Rafizi pada sidang akhbar Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendakwa terdapat campur tangan politik terhadap keputusan Tabung Haji dalam mengekalkan kepentingannya dalam Felda Global Ventures (FGV) walaupun mengalami kerugian atas kertas berjumlah lebih RM900 juta.

Sebagai reaksinya, Tabung Haji berkata saham-saham dalam FGV adalah sebahagian daripada pelaburan strategik jangka panjang.

Ia memberi jaminan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka ‘tidak hilang’ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. – MK