Rafidah Tidak Tahu Permainan Politik, Lebih Baik Diam – Bung Mokhtar

257
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin menasihatkan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz supaya diam daripada membuat sebarang komen berhubung Perhimpunan Baju Merah pada 16 September ini.

Ini kerana, katanya, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Rafidah menunjukkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sudah tidak pandai dalam permainan politik DAP apabila beliau mempertahankan perhimpunan haram Bersih 4.0.

“Saya berpendapat dia sudah terkeluar dari permanan (politik) dan dia sudah tidak tahu permainan politik sebenar. Saya nasihatkan dia lebih baik diam,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Rafidah baru-baru ini menasihatkan agar Perhimpunan Baju Merah atau Perhimpunan Rakyat Bersatu dibatalkan kerana boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Katanya, perhimpunan itu berbeza dengan Bersih 4.0 kerana ia tidak mempunyai matlamat.

Mengulas Perhimpunan Rakyat Bersatu, Bung Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, ia diadakan kerana orang Melayu rasa tercabar apabila Bersih 4.0 didominasi kaum Cina.

“Pemimpin Melayu merasakan bahawa kaum Cina melalui Bersih 4.0 bukan sahaja menghina pemimpin Melayu tetapi telah cuba mencabar ketuanan Melayu.

“Kita harus sedar bila ada ‘action’ sudah tentu ada ‘reaction’,” katanya.

Ditanya adakah beliau menyokong perhimpunan itu, Bung Mokhtar berkata, ada keperluan untuk beliau menyokong perhimpunan tersebut.

Beliau turut mengingatkan peserta perhimpunan itu supaya menjaga adab untuk menghormati sambutan Hari Malaysia.

“Apa yang penting peserta perhimpunan perlu menunjukkan adab yang tinggi,” katanya.