Putrajaya Elak Isu 1MDB, RM2.6 Bilion Di Parlimen – Kit Siang

92
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan ahli Parlimen pembangkang memegang sepanduk di dalam Dewan Rakyat semalam, mempersoalkan di mana wang “derma” RM2.6 bilion, adalah wajar kerana kerajaan semasa bersidang sepanjang minggu lalu mengelak daripada membincangkannya, kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, ini terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam satu jawapan bertulis, kerajaan akan menjawab isu berhubung sumbangan derma itu dan persoalan yang berkaitan, semasa sidang yang berlangsung ketika ini.

Tetapi, bekas Ketua Puteri Umno itu berkata, tarikh sebenarnya akan ditentukan kemudian.

“Adakah Azalina cuba mengatakan kerajaan tidak mempunyai jawapan sebenar kepada soalan-soalan ini dan masih belum memutuskan cara yang terbaik dan paling meyakinkan untuk ‘berbohong’ di Parlimen?” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, apa yang Azalina lakukan tidak pernah terjadi sebelum ini, dan mendakwa bekas menteri belia dan sukan itu dilantik semula ke Kabinet hanya untuk “memanipulasi” jawapan.

Lim juga memetik satu laporan Malaysiakini yang berkata, sekretariat Parlimen menolak di dalam kamar sekurang-kurangnya 7 soalan berkaitan kontroversi di sekitar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mendakwa, Najib juga gagal menangani “elephant in the room” (simpulan bahasa bermaksud persoalan penting yang cuba diabaikan) ketika membentangkan bajet itu semalam.

“Najib mesti bersedia di Parlimen untuk menjawab soalan daripada ahli Parlimen dan negara berhubung dua skandal mega iaitu 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi beliau, atau beliau harus meletak jawatan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan!”

Ahli Parlimen Pakatan Harapan mengangkat sepanduk dengan perkataan “Mana RM2.6 bilion?” sebaik sahaja perdana menteri menutup ucapan Bajet 2016 beliau semalam.

Ia menimbulkan kekecohan di pihak ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang marah dengan tindakan blok pembangkang itu.

Bagaimanapun, Lim tidak hadir semalam kerana beliau ketika ini digantung dari menghadiri persidangan Dewan selama 6 bulan kerana kesalahan menghina Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Khamis.

Najib ketika ini berdepan kritikan berhubung isu RM2.6 bilion itu, yang dilaporkan dimasukkan ke dalam akaun beliau menjelang Pilihan Raya Umum 2013. Perkara itu pertama kali didedahkan The Wall Street Journal dan Sarawak Report awal Julai lalu.

Perdana menteri menafikan dakwaan tersebut pada mulanya, menegaskan beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi tetapi kemudiannya berkata, wang itu adalah sumbangan penderma dari Timur Tengah untuk usaha Malaysia memerangi kumpulan pengganas Isis.

Isu itu menjadi subjek siasatan pelbagai pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – INSIDER

SHARE
Previous articleBajet 2016: Tidak Cukup Sekadar Naikkan BR1M – Fomca
Next articleUMNO Tidak Bawa Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Najib