Putrajaya Bentuk Jawatankuasa Nasihat YaPEIM

189
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Susulan beberapa siri pendedahan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), membabitkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sebelum ini, sebuah jawatankuasa khas dibentuk bagi memantau dan menasihati tadbir urus yayasan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jawatankuasa itu turut berperanan merangka garis panduan tadbir urus institusi Islam di negara ini.

“Garis panduan itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya suku pertama tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Zakat Korporat di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah NOW, Akmal Nasir sebelum ini mendakwa Yapeim menganjurkan kursus kahwin yang menelan belanja RM290,000 di Paris, Perancis.

Beliau mempersoalkan kewajaran “Simposium Perdana Paris: Isu Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahawanan dan Pengurusan” itu dijalankan di luar negara sedangkan ia tidak langsung melibatkan anak yatim memandangkan ia menggunakan dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin).

“Apakah kewajaran menggunakan wang Yapeim bagi penganjuran kursus perkahwinan dengan kos RM290,000 yang berlangsung 14 hari di Paris, Perancis?” soal Akmal.

Yapeim juga didakwa menubuhkan sebuah “Pusat Latihan Input Golf” sebagai khidmat latihan program sukan korporat untuk Yapeim berdasarkan laporan bajet 2013 didedahkan NOW.

Input atau Institut Penyelidikan dan Perundingan Yapeim Sdn Bhd, adalah salah satu daripada 6 anak syarikat dimiliki Yapeim.

Menurut Akmal, penyata kewangan 2014 menyenaraikan simulator golf itu sebagai antara aset susut nilai.

Ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, Asyraf berkata: “Nanti tadbir urus akan selesaikan ini.”

Timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama itu berkata, anggota jawatankuasa berkenaan dilantik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggung jawab menilai kembali memberikan nasihat bagaimana untuk mentadbir urus Yapeim.

“Kita tidak ada lagi satu garis panduan atau amalan terbaik tadbir urus bagi institusi-institusi Islam.

“Dan kalau ini dapat kita hasilkan, ia akan menjadi garis panduan seumpamanya di dunia,” katanya.

“Tadbir urus institusi Islam yang bersifat umum kita belum ada dan ini antara perkara jawatankuasa tadbir urus bangunkan,” katanya.

Jawatankuasa ini katanya dianggotai mereka yang berkepakaran dan pernah terlibat membangunkan piawai tadbir urus Islam di peringkat antarabangsa.

Antaranya termasuklah ahli lembaga Chartered Management Institute yang berpusat di London, dan juga wakil daripada Jabatan Perdana Menteri, Mampu, wakil daripada Khazanah Nasional Bhd serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain itu, jawatankuasa berkenaan juga katanya turut merangkumi wakil pertubuhan institusi pertubuhan Islam, supaya mereka dapat memberikan pandangan terbaik untuk menghasilkan garis panduan Islam untuk institusi Islam yang ada di negara ini.

Ketika diminta mengulas berhubung kumpulan 25 Melayu (G25) ternama yang mencetuskan kontroversi apabila menggesa undang-undang khalwat dikaji semula, Asyraf enggan mengulas lanjut, atas alasan ia akan memberikan mereka publisiti.

“Dah banyak sangat G25, nanti dia popular pula nanti,” katanya.