Puteri UMNO Jamin ‘OK’ Jika Tidak Jadi Calon – Mas Ermieyati

9
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO memberi jaminan tidak akan merajuk seandainya ada ahlinya yang tidak dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mereka juga berjanji tidak akan berselisih faham serta menutup bilik gerakan pilihanraya demi kemenangan BN secara keseluruhannya.

“Menyedari bahawa pilihan raya umum ke 14 ini adalah getir, penting dan ibu kepada segala pilihan raya. Puteri akan terus memasakkan janji dan wala’ terhadap pemimpin dan parti UMNO ini bagi memenangkan Barisan Nasional.

“Sebab itu, Puteri tidak mendesak sebarang pemilihan calon. Cuma kami mengharapkan agar pemilihan calon akan turut mengambil kira wanita dan orang muda.

“Bahkan, bagi calon langsung seperti yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, adalah kaedah yang terbaik, Puteri UMNO mengharapkan juga konsesus yang sama dapat dicapai oleh semua parti komponen BN,” ujarnya.

“Pilihlah yang terbaik dari kalangan yang terbaik demi kemenangan dua pertiga majoriti pada PRU yang akan datang,” jelasnya.

Katanya lagi, Puteri UMNO juga diminta sentiasa bersedia menangkis serangan sumbang pakatan pembangkang.